LARANGAN DALAM BERZAKAT

ZAKAT adalah hukum Islam yang asasi dan tertentu sifatnya serta tidak boleh dilaksanakan sesuka hati, itulah yang saya fahami. Persoalan yang ingin saya bangkitkan ialah, apakah perkara yang menjadi pantang-larang bagi seorang pembayar zakat demi menjamin amalannya diterima di sisi Allah SWT?

Jawapan

Terima kasih atas pertanyaan. Jujurnya, bukan sekadar ibadah zakat sahaja yang perlu dilaksanakan sesuai dengan ketetapan, malah semua ibadah boleh cacat jika seseorang Muslim itu tidak menjaga adab dan melanggar pantang larangannya.

Ibadah adalah sebahagian daripada Syariah Islamiah dan tata cara perlaksanaannya sudah ditetapkan oleh Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW. Jika kita tidak mematuhi kaedah, boleh jadi ibadah kita menjadi rosak, terbatal dan paling dibimbangi dianggap sia-sia di sisi Allah SWT.

Syariah Islamiah pula, merujuk kepada hukum-hukum yang disyarakkan (ditetapkan dan dipikulkan) oleh Allah SWT untuk seluruh hamba-Nya, sama ada yang berkaitan dengan akidah, ibadat, akhlak, muamalat dan sistem-sistem kehidupan dalam pelbagai aspek (secara menyeluruh) segalanya demi kebahagiaan mereka di dunia dan akhirat. (rujuk Mohd. Saleh Hj. Ahmad,Pengantar Syariat Islam, hal, 1).

Kerana itu, orang Islam yang sudah cukup kemampuannya melaksanakan sesuatu ibadah, dianggap berdosa jika mengabaikannya, kerana ini adalah taklifan (ketetapan) Allah SWT sebagai tanggungjawab kita di atas dunia.

Allah SWT menyatakan: Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat. (an-Nisa: 105)

Maka, apabila menyentuh tentang ibadah zakat, sudah pasti mempunyai ketetapan khusus dalam perlaksanaannya. Apatah lagi, berbanding dengan ibadah rukun yang lain – solat dan puasa misalnya – maka, zakat dianggap lebih berat dalam perlaksanaannya dan kesannya juga lebih besar jika gagal dilaksanakan dengan sempurna seperti mana yang dimahukan (secara piawai) oleh Islam.

Jika solat, seseorang itu tidak boleh dihukum secara sewenang-wenangnya oleh pemerintah, kecuali dia sengaja mengabaikannya secara terbuka, misalnya sengaja meninggalkan solat Jumaat.

Hal ini kerana, solat boleh dilakukan secara sendirian di rumah dan pihak berkuasa, tidaklah diberati sengaja mencari-cari kesalahan sehingga memerhatikan dirinya ketika di rumah.

Begitu jua puasa Ramadan, hanya menjadi kesalahan yang dikenakan hukuman takzir jika orang berkenaan makan dengan sengaja di khalayak awam.

Tetapi, jika dia makan secara sembunyi-sembunyi di rumah maka dia hanya berdosa dan pemerintah tidak diberati mencari-cari kesalahannya untuk didenda.

Berbeza dengan ibadah zakat, pemerintah wajib memastikan mereka yang kaya melaksanakannya. Ini kerana, selalunya kekayaan manusia sukar disembunyikan daripada pemerintah. Maka, wajarlah pemerintah memantau agar harta itu dikeluarkan zakat tanpa sebarang alasan dan helah.

Di samping itu, telah dinyatakan juga dahulu bahawa zakat adalah ibadah ijtimaiyyah (keadilan sosial), yang amat berkait rapat dengan keperluan manusia.

Jika zakat dibuat sambil lewa, maka akan memberikan kesan langsung secara negatif kepada manusia yang lain.

Misalnya, akan merebaklah kemiskinan dan akan membenihkan wabak penyakit sosial (yang berpunca daripada kemiskinan) dan membarah jugalah ketamakan manusia dalam berharta.

Hal ini perlu dibanteras oleh pemerintah, dan salah satu kaedahnya adalah dengan mekanisme zakat yang betul.

Apa yang dipaparkan ini hanyalah sebahagian daripada perkara-perkara yang ditegah daripada dilakukan oleh seseorang itu dalam melaksanakan ibadah zakat.

Mudah-mudahan dengan pemahaman ringkas ini, maka kita dapat memastikan ibadah zakat yang dilaksanakan itu benar-benar menepati roh zakat dan manfaatnya juga betul-betul sampai kepada sasaran yang tepat dan memenuhi kehendak syariat. Wallahua’lam.

Image

SUMBER :

© Utusan Melayu (M) Bhd