KERATAN AKHBAR: BANTUAN GUAMAN WANITA

Wanita berpendapatan RM2,000 ke bawah layak memohon bantuan Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam Kuala Lumpur (PBGKL) secara percuma bagi mendapatkan hak jika mereka dianiaya, didera atau didiskriminasi.

Peguam bela dan peguam cara, Preetam Kaur, berkata setiap wanita punya hak dan mereka harus tahu bagaimana mahu mendapatkannya meskipun menganggap ia hanya perkara remeh dan dianggap kecil bagi sesetengah pihak.

“Tidak kira apa isu sekalipun yang membabitkan wanita, mereka harus lawan dan jangan biarkan diri mereka terus ditindas. Sebagai contoh hamil luar nikah, selalunya hanya wanita dipersalahkan padahal lelaki turut bersalah.

“Lelaki juga boleh dikenakan tindakan atau saman jika wanita mahu berbuat demikian. Yang penting jangan malu,” katanya ketika ditemui selepas memberi ceramah kepada ibu tunggal dan penghuni Baitul Fiqh di sini, semalam.

Menurut Preetam, PBGKL turut berfungsi memberi nasihat perkhidmatan mitigasi bagi mengurangkan hukuman, prosiding reman dan aplikasi jaminan selain memberi nasihat guaman percuma representasi dan intervensi bagi kes sivil dan jenayah.

Selain itu, PBGKL juga mengendalikan kes seperti jenayah, keluarga, syariah, migran, keganasan rumah tangga, litigasi kepentingan awam, perumahan dan sewa beli serta lain-lain.

Sumber: HARIAN METRO ONLINE, AHAD 10 APRIL 2011

Sila layari www.ybgk.org.my untuk maklumat lanjut berkenaan Pusat Bantuan Guaman.