KONSEP KAFAAH DALAM PERKAHWINAN MENURUT ISLAM

Perkahwinan merupakan sesuatu yang mulia di dalam Islam. Malahan ianya sangat dituntut sehinggakan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W sendiri menyatakan bahawa sesiapa yang tidak mengikut sunnahku maka bukanlah ia daripada umatku. Sunnah ini termasuklah perkahwinan. Namun begitu, langit tidak semestinya cerah sentiasa. Ada perkahwinan yang berakhir dengan perceraian disebabkan oleh pelbagai punca. Antaranya ialah pasangan yang tidak sekufu.

Pepatah “enggang sama enggang, pipit sama pipit” menggambarkan tentang sekufu ini. Perkara ini menjadi perbahasan di kalangan para ulama’ tentang kedudukannya dalam keperluan substantif perkahwinan kerana ianya tidak dinyatakan secara jelas dalam nas al-Quran dan as-Sunnah. Namun begitu dalam realiti masyarakat hari ini, terdapat sebahagian masyarakat yang mengutamakannya dan ada juga yang tidak melihat aspek sekufu dalam memilih pasangan.

Kafaah pada istilah fuqaha’ ialah setara di antara suami dan isteri demi untuk mengelak keaiban pada beberapa perkara yang tertentu iaitu di segi Mazhab Maliki ialah agama dan hal keadaan (yakni selamat dari keaiban-keaiban yang membolehkan pihak perempuan khiyar) dan di sisi jumhur ialah agama, keturunan, kemerdekaan, dan pekerjaan (kerjaya), ulama’ Hanafi dan Hanbali menambah dengan harta.[1]

Maksud kafaah dalam perkahwinan bolehlah dikatakan serupa, seimbang atau serasi antara pasangan suami dan isteri sehingga masing-masing tidak merasa berat untuk melangsungkan perkahwinan. Ia juga boleh dirumuskan sebagai persesuaian antara si suami dengan perempuannya, sama kedudukannya. Suami seimbang kedudukannya dengan isterinya di masyarakat sama baik akhlaknya dan kekayaannya. Persamaan kedudukan suami dan isteri akan membawa ke arah rumahtangga yang sejahtera, terhindar daripada perkara-perkara yang tidak elok.

Dalam bab kafaah dalam perkahwinan ini, ia tidak dinyatakan secara jelas di dalam nas al-Quran dan juga as-Sunnah. Justeru, ia menjadi sebahagian daripada perbincangan para ulama’. Terdapat beberapa pandangan ulama’ berkaitan pensyariatan kafaah dalam perkahwinan.

 PENDAPAT JUMHUR FUQAHA’

Kebanyakan ulama’ feqah termasuk keempat-empat mazhab (mazhab Shafi’e, mazhab Hanbali, mazhab Maliki dan juga mazhab Hanafi) berpendapat bahawa kufuan adalah syarat bagi lazim ‘aqad sesuatu perkahwinan, bukan syarat sah ‘aqad perkahwinan berpandukan dalil-dalil berikut :

 Hadith yang diriwayatkan oleh al-Daruqutni :

Bermaksud : Ada tiga perkara yang tidak boleh dilewatkan : sembahyang apabila sampai waktunya, jenazah apabila ia hadir, dan apabila perempuan janda didapati kufu baginya.

 Hadith Jabir :

Bermaksud : Jangan kamu kahwinkan perempuan kecuali sekufu; dan jangan kamu kahwinkan mereka kecuali oleh para walinya; dan tidak ada mahar yang kurang daripada 10 dirham.

Imam Shafi’i berpendapat bahawa dalil asal tentang kufu pada perkahwinan ialah Hadith Buraidah yang bermaksud : “Sesungguhnya Nabi s.a.w. memberi pilihan kepada perempuan disebabkan suaminya tidak sekufu dengannya selepas ia merdeka sedangkan suaminya hamba”. Beliau berpendapat bahawa pertimbangan kafaah ini dilihat dalam lima aspek iaitu ; agama, keturunan, merdeka, kekayaan dan kesempurnaan anggota badan. Selain itu, ulama’ mazhab Shafi’i menambah satu aspek lagi iaitu perbezaan umur.[2]

Manakala Imam Malik pula menyatakan bahawa kufu yang diambil kira hanya tentang agama dan selamat daripada hal keaiban yang membolehkan perempuan khiyar pada perkahwinan. Bukan bermakna kufu dari segi kemuliaan dan keturunan. Sesungguhnya semua itu hanyalah sunat semata-mata.[3]

Menurut Ibnu Qayyim, hukum dari Rasulullah s.a.w. tentang kafaah maksudnya ialah agama dan kesempurnaan budi pekerti; seorang muslimah jangan dikahwinkan dengan lelaki kafir dan perempuan yang tidak pernah berzina jangan dikahwinkan dengan lelaki jahat. al-Quran dan as-Sunnah tidak menyebut aspek-aspek lain dalam soal kafaah kecuali agama.[4]

 PANDANGAN MAZHAB HANAFI

Ulama’ mazhab Hanafi seperti al-Thawri, Hassan al-Basri dan al-Karkhi berpendapat bahawa kafaah bukanlah satu syarat pada hukum asal. Ia tidak menjadi syarat sah bagi perkahwinan  dan bukan syarat lazim. Justeru, mereka menyatakan bahawa sah perkahwinan bagi pasangan yang bukan sekufu[5]. Antara hujah yang diambil bagi menyokong pendapat mereka ialah :

Sabda Nabi S.A.W. :

Bermaksud : Manusia sama sahaja, seperti gigi sikat rambut, tidak ada kelebihan bagi orang-orang Arab ke atas orang-orang bukan bangsa Arab. Sesungguhnya kelebihan seseorang itu dikira dengan taqwa.

Hadith ini menunjukkan bahawa antara manusia sesama manusia tidak ada bezanya. Semua sama sahaja dan tidak ada apa yang dimaksudkan dengan kekufuan. Ini amat bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam Surat Al-Hujurat, Ayat 13:

Bermaksud : …sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di kalangan kamu ( bukan yang lebih keturunan atau bangsanya )…

 Hadith yang terdahulu :

Hadith ini diriwayatkan apabila Bilal bin Rabbah meminang perempuan daripada satu kaum Ansar tetapi mereka enggan mengahwinkannya. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda :

Bermaksud : Katakan kepada mereka bahawa Rasulullah s.a.w. menyuruh kamu agar kamu mengahwinkan saya.

Jika dilihat kepada mafhum hadith ini, Rasulullah menyuruh mereka berkahwin sedangkan jika dilihat dari sudut kufuan, sememangnya mereka tidak sekufu. Inilah antara hadith yang menjadi hujah mazhab Hanafi.

 IMPLIKASI

Justeru itu, memilih jodoh merupakan perkara penting dalam pembinaan rumah tangga Islam kerana daripada perkongsian hidup inilah akan menentukan nasib serta corak hidup dalam masyarakat. Oleh kerana itu, setiap calon suami atau isteri sebelum membuat persetujuan untuk berkahwin sepatutnya memikirkan pelbagai aspek jasmani dan rohani untuk kepentingan semua pihak. Seperkara yang penting juga diambil kira, acap kali menyentuh soal pemilihan jodoh adalah persoalan kufu atau umumnya lebih sesuai dikatakan sekufu itu sebagai kesamaan taraf.

Antara aspek sekufu yang dilihat adalah dari segi bangsa dan bahasa. Orang Melayu sesuai dengan orang Melayu dan orang Arab sesuai dengan orang Arab, dan orang Inggeris padan dengan orang Inggeris. Namun begitu, aspek pekerjaan, pendidikan, dan kedudukan individu itu semuanya diambil kira sebagai sekufu. Permulaan sesuatu perkahwinan itu didasarkan kepada kasih sayang. Misalnya isteri yang mempunyai pendidikan tinggi manakala suami berpendidikan rendah. Seandainya perkahwinan itu tidak sekufu ia memang menghadapi masalah khasnya dari segi selera, cita rasa, pemikiran dan banyak lagi.[6]

Oleh kerana itu persoalan sekufu adalah satu perkara yang agak penting kerana kalau ia tidak sekufu ia boleh menyebabkan perceraian. Ini kerana tujuan perkahwinan itu ialah mendapat ketenangan, kesukaan, keamanan, kasih sayang dan belas kasihan. Tetapi apabila individu tersebut memiliki pasangan yang dia benci, sudah tentu hidupnya tidak selesa maka kemungkinan akan berlaku pergeseran serta perceraian. Hakikatnya sekufu ini memainkan peranan yang besar dalam hubungan suami isteri.

Tidak dinafikan ada juga pasangan yang tidak sekufu mampu hidup bahagia dan harmoni dengan syarat peranan ini mampu dibawa dengan baik. Jika seseorang berpegang kepada agama, tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing, maka perkahwinan yang tidak sekufu itu boleh membawa kepada keamanan dan kedamaian. Apabila individu yang mengambil keputusan berkahwin dengan orang yang tidak sekufu, seharusnya dia sedar banyak perkara lain yang akan timbul. Mereka seharusnya menerima pasangannya seperti sedia ada.

Jika  ada kelebihan dan kekurangan itulah suami dan isterinya. Mungkin dengan cara ini, pasangan akan berusaha untuk mengurangkan jurang perbezaan tersebut. Sungguhpun persoalan sekufu ini adalah hak wali dan bakal isteri, sepatutnya ia tidak akan berbangkit dikemudian hari. Tetapi hakihkatnya ada yang membangkitkannya juga.

Oleh sebab itulah, apabila pasangan yang memilih untuk bekahwin dengan pasangan yang tidak sekufu seharusnya ia sedar tindakannya memang satu tindakan yang membawa kemungkinan menimbulkan cabaran dan konflik. Sewajarnya mereka perlu lebih dahulu sedar sebelum membuat dan meneruskan dengan pilihan pasangan yang berlainan atau hetrogami. Manakala bagi yang sudah berkahwin, kalau tidak mempertimbangkan perkara ini maka konflik yang boleh timbul akibat daripada perbezaan yang dinyatakan tadi. Paling ketara ialah apabila tidak sekufu akan menimbulkan pandangan, pendapat dan nilai yang berbeza.

Di samping itu, pasangan tersebut perlu sedar bahawa dia telah memilih berkahwin dengan pasangan yang tidak sekufu, jadi kesan yang akan dialami ialah dia akan berhadapan dengan banyak konflik. Apabila timbul kesedaran ini, individu itu akan cuba mengamalkan sikap tolenrasi dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Yang pasti konflik itu boleh diselesaikan.  

Antara resepi perkahwinan ialah saling mempercayai kerana apabila seorang isteri mahupun suami bertanggungjawab terhadap kepercayaan yang diberikan oleh pasangan, dia tidak akan melakukan sesuatu yang boleh meruntuhkan kepercayaan tersebut. Di samping, ia bergantung kepada individu tersebut serta kualiti yang diingini pada pasangan tersebut. Atau maksudnya melihat kepada seseorang yang boleh memenuhi kehendaknya bukan kepada kedudukan dan taraf pendidikan.

 


[1] Wahbah al-Zuhaili. 2001. Fiqh & Perundangan Islam. Jld. VII. Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur. hlm. 306.

[2]  Ny. Soemiati , S.H. 1982. Hukum Perkahwinan Islam dan Undang-undang Perkahwinan; Undang-undang no.1 Tahun 1974, Tentang Perkahwinan. Penerbit Liberty. Jogjakarta. hlm. 85.

[3] Abdul Ghani Azmi b. Hj. Idris. 1994. Hukum-hukum Perkahwinan & Kekeluargaan Dalam Islam. Dinie Publisher : Kuala Lumpur. hlm. 71,

[4]   Muhamad Al-Mansur.  1998. Hukum Hakam Perkahwinan. Percetakan Nasional Malaysia Berhad. Johor Bahru. hlm. 165.

[5]  Opcit. Wahbah al-Zuhaili. hlm. 306

[6] Prof Madya Dr Mat Saad Abdul Rahman. 1993. Undang-undang Keluarga Islam : Aturan Perkahwinan Suatu Pendekatan Berdasarkan Amalan Semasa. Hi_bi Sdn. Bhd. hlm. 13.

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s