PEMUNGKIRAN PERTUNANGAN

 

SIRI 1: Pemungkiran pertunangan (menuntut ganti rugi pertunangan)

          

Amalan pertunangan merupakan amalan adat resam yang wujud di dalam masyarakat di Malaysia. Ia merupakan salah satu langkah permulaan kepada perkahwinan dan dianjurkan agar pihak-pihak dapat berkenalan antara satu sama lain sebelum melangsungkan perkahwinan.  

 

Ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi apabila sesuatu pertunangan itu hendak dilangsungkan, antaranya ialah:

 

a) Wanita yang hendak ditunangkan itu bukan isteri seseorang. Bertunang dengan tunang orang lain juga adalah berdosa dan kebanyakan ulama mengatakan ialah tidak sah, haram serta batal;

 

b) Pertunangan antara lelaki dan wanita yang mempunyai hubungan mahram juga adalah tidak sah;

 

c) Pertunangan tidak boleh dilaksanakan antara lelaki dan wanita sekiranya wanita itu masih lagi berada dalam tempoh edah akibat diceraikan ataupun kematian suami.

          

Amalan pertunangan sebenarnya membawa banyak faedah dan merapatkan hubungan kekeluargaan antara pihak lelaki dan pihak perempuan. Sekiranya berlaku pemungkiran pertunangan tanpa alasan-alasan yang munasabah, sedangkan persiapan perkahwinan sudah dirancang, pihak-pihak yang terlibat boleh menuntut ganti rugi yang berkaitan di Mahkamah Syariah. Situasi ini, telah jelas diterangkan dalam peruntukan Undang-undang Keluarga Islam iaitu, apabila berlakunya kemungkiran terhadap ikatan pertunangan yang telah dibuat antara kedua belah pihak sama ada secara rasmi atau sebaliknya, maka pihak yang memungkiri pertunangan tersebut bertanggungjawab untuk membayar segala ganti rugi yang telah dibelanjakan sama ada semasa pertunangan atau ganti rugi persiapan perkahwinan kepada pihak satu lagi. Tuntutan ganti rugi itu boleh dibuat dengan memfailkan tuntutan di Mahkamah Syariah.

 

Menurut Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan:

 

“Jika seseorang telah mengikat suatu kontrak pertunangan mengikut Hukum Syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis dan sama ada secara bersendirian atau melalui seseorang perantaraan dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak satu lagi kepada kontrak itu tanpa apa-apa sebab manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan Mahkamah”.

 

Berdasarkan peruntukan ini, jelas menunjukkan bahawa keadilan diberikan kepada pihak yang teraniaya akibat dari pemungkiran pertunangan tanpa sebab-sebab yang munasabah.

 

Ganti rugi yang akan ditaksirkan oleh pihak Mahkamah mengambil kira segala perbelanjaan dan persediaan yang telah dilakukan bagi majlis perkahwinan tersebut. Malah, pihak yang mungkir janji juga bertanggungjawab untuk memulangkan semula segala hadiah atau pemberian pertunangan yang diterima, sekiranya ada. Jika barang tersebut sudah tiada atau lupus seperti makanan atau barang peribadi yang telah digunakan, maka ia perlu ditaksirkan dan dibayar berdasarkan nilaian wang sebagai ganti rugi.

 

Kesimpulannya, apabila berlaku pemungkiran pertunangan tanpa alasan yang munasabah, pihak satu yang teraniaya boleh menuntut segala kos kerugian seperti persiapan perkahwinan dan pemberian pertunangan di Mahkamah Syariah berdasarkan peruntukan yang telah dinyatakan di atas.

 

SIRI 2: MAHAR

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s