LASIK: PROSEDUR DAN KOMPLIKASI

LASIK atau laser-assisted in situ keratomileusis adalah pembedahan pembiasan mata bagi merawat atau membetulkan penglihatan rabun jauh, dekat atau silau (astigmatism) dengan menggunakan sinar laser. LASIK merupakan alternatif baru yang semakin popular menggantikan pemakaian kacamata dan kanta lekap kerana LASIK membetulkan penglihatan secara kekal. Tidak perlu lagi bergantung kepada kacamata atau kanta lekap dan penglihatan yang pulih membawa perubahan kepada penampilan dan membolehkan mereka yang menghadapi masalah rabun atau silau tampil yakin.

PROSEDUR

Sebelum melalui pembedahan LASIK, pakar mata akan mengenalpasti kesihatan badan dan kesihatan mata calon melalui ujian saringan dan pemeriksaan mata. Bentuk mata diukur untuk mendapatkan topografi kornea.

Semasa pembedahan LASIK, mata akan dibius menggunakan ubat penitis mata dan kelopak mata akan dibuka. Pakar mata akan menanda pada mata, bahagian kornea yang akan dipotong untuk membentuk kelopak. Seterusnya,  dengan menggunapakai alat pemotong yang dikenali sebagai microkeratome, lapisan kornea dipotong secara nipis. Lapisan yang membentuk kelopak ini akan dibuka untuk memancarkan sinar laser yang akan membetulkan struktur permukaan kornea. Bagi membetulkan rabun jauh, permukaan kornea akan diratakan bagi mengurangkan kecerunan kornea manakala bagi merawat rabun dekat, kecerunan kornea ditingkatkan.

Selesai pancaran sinar laser, kelopak kornea ditutup semula supaya mata sembuh secara semula jadi.

KOMPLIKASI

Komplikasi pembedahan LASIK semakin berkurangan sejak ia mula diperkenalkan. Berdasarkan kajian yang dijalankan pada 2008 di kem tentera US, hampir semua tentera yang menjalani LASIK dapat melihat dengan baik tanpa perlu memakai kaca mata atau kanta lekap dan daripada 112,500 pembedahan LASIK yang dilakukan, hanya 1 kes komplikasi dilaporkan.

Walaubagaimanapun, adalah penting untuk calon mengetahui komplikasi yang mungkin terjadi akibat LASIK. Antara komplikasi tersebut adalah:

  1. Kekeringan mata (Dry eye) – mata kering, gatal, kemerahan, seperti ada benda asing dalam mata dan kadang kala sakit
  2. Salah pembetulan penglihatan (overcorrection/undercorrection) – pandangan kabur
  3. Jangkitan mata dan iritasi – mata kemerahan dan kadang kala sakit
  4. Kelopak kornea tidak melekat kembali atau kedut – penglihatan berganda (double vision), pandangan silau dan pecah, masalah penglihatan ketika malam atau di bawah pencahayaan yang rendah
  5. DLK (Diffuse Lamellar Keratitis) – inflamasi pada kornea yang tidak terkawal menyebabkan kornea lambat sembuh dan mengganggu penglihatan
  6. Keratectasia atau Keratoconus – pembengkakan kornea disebabkan kornea dipotong terlalu dalam

Semua komplikasi di atas kecuali Keratectasia atau Keratoconus boleh diperbetulkan dengan pembedahan tambahan (enhancement surgery), ubat-ubatan seperti antibiotik dan anti-inflamasi dan pemakaian kacamata atau kanta lekap. Bagi Keratectasia atau Keratoconus, pesakit perlu memakai kanta lekap keras atau menjalani pemindahan kornea.

PEMBEDAHAN MATA MENGGUNAKAN SINAR LASER YANG LAIN

  1. Bladeless LASIK – Kornea dipotong dengan menggunakan sinar laser bagi membentuk kelopak kornea. Mengurangkan masalah memotong kornea terlalu dalam.
  2. PRK atau photoreftractive keratectomy – sinar laser dipancar terus ke kornea tanpa perlu membentuk kelopak kornea. Kurang komplikasi berbanding LASIK namun menghilang lapisan luar mata (lapisan epithelial) yang mengakibatkan mata lambat pulih.
  3. LASEK atau laser epithelial keratomileusis – variasi kepada PRK di mana pemotong digunakan untuk memotong lapisan epithelial bagi melindungi lapisan tersebut. Lapisan epithelial ditutup semula selepas pancaran laser. Tempoh pemulihan adalah lebih lambat berbanding LASIK.
  4. Epi-LASEK – variasi kepada LASEK di mana lapisan epithelial dipotong dengan menggunakan pemotong plastik yang berputar.

Konklusinya, setiap pembedahan pasti ada risikonya. Namun risiko daripada pembedahan LASIK adalah amat rendah dan komplikasi yang mungkin terjadi boleh diperbetulkan semula. Paling mustahak sebelum menjalani pembedahan LASIK adalah pemilihan pakar bedah mata yang berpengalaman luas dalam bidang ini kerana pembedahan LASIK ini banyak bergantung kepada kepakaran mereka. Walau apa pun pilihannya, bertawakallah kepada Allah S.W.T dan bersyukurlah.

Firman Allah S.W.T :

Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalam (tubuh manusia) roh (ciptaan)-Nya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur. (Surah As-Sajdah, Ayat 9)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s