ISTIQAMAH

Istiqamah bermaksud berpendirian teguh atas jalan yang lurus, berpegang pada akidah Islam dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah dan berpaling walau apa-apa keadaan sekalipun. Prinsip istiqamah ini disebut berulang kali di dalam Al-Quran di dalam beberapa Surah yang berbeza bagi menandakan kepentingan beristiqamah.

Allah S.W.T berfirman dalam Surah al-Ahqaaf, Ayat 13 Mafhumnya:

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Istiqamah dilakukan dengan menumpukan komitmen untuk melaksanakan sesuatu perkara dengan penuh konsisten dan kesungguhan. Usaha ini semestinya lakukan terus ke dalam jiwa agar penghayatannya sampai ke lubuh hati. Istiqamah seharusnya diterapkan dalam segala peringkat kehidupan seharian kerana ianya akan dapat menghasilkan pemikiran yang rasional. Sekiranya pendekatan ini diamalkan dalam soal ibadah nescaya nilai kesempurnaan dan kemanisan iman muslim akan lebih bernilai. Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Jin, Ayat 16 yang bermaksud:

“Dan bahawasanya jika mereka tetap berjalan lurus (istiqamah) di atas jalan itu (agama Islam) benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar atau rezeki yang banyak.”

Dr Hamzah Ya’qub dalam bukunya Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mukmin, menyimpulkan istiqamah ini kepada tiga tahap iaitu istiqamah dengan hati, lisan dan perbuatan. Istiqamah dengan hati bermaksud teguh iman, mempertahan kejujuran dan sifat mazmumah lain. Mereka yang memiliki iman teguh tidak mudah tergoda, terpengaruh dan rebah kepada godaan. Oleh itu, setiap tindak-tanduknya adalah mencerminkan hati yang suci.  Istiqamah dengan lisan ialah sentiasa memelihara tutur kata supaya ikhlas dan benar. Apa yang diucapkan itu mengikut landasan agama dan bukan atas kehendak nafsu. Akhir sekali, istiqamah dengan perbuatan iaitu tekun dalam bekerja, berusaha, berjuang, tidak jemu berusaha, tidak kecewa, cemas dan takut apabila jatuh sebaliknya terus saja berjuang sehingga berjaya.

Bagaimana beristiqamah?

Terdapat banyak cara untuk seseorang itu beristiqamah yang digariskan Islam antaranya:

1)    Menunaikan Solat

a)    Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Ankabut, Ayat 45:

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahikan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun) sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

b)    Dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 153, Allah S.W.T berfirman:

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”

Ayat diatas menerangkan solat akan memelihara dan menjaga seseorang itu daripada kemungkaran. Solat fardhu dan sunat yang dilakukan berterusan juga adalah bukti seseorang itu beristiqamah. Malahan sebagai muslim yang mampu beristiqamah dalam solat pasti kita dapat beristiqamah dalam melaksanakan ibadah lain ataupun amal-amal kebaikan. Al-Imam Al-Baihaqi meriwayatkan, Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda yang maksudnya, “Solat itu tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama.

2.    Bersabar 

a)    Allah S.W.T berfirman dalam Surah ar-Rad, Ayat 23-24:

“Iaitu Syurga yang kekal, yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal salih dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu – (Memberi hormat dengan berkata): “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu”.

b)    Rasulullah S.A.W bersabda:

“Amat dikagumi sifat orang mukmin, iaitu semua urusan yang menimpanya adalah baik, dan tidaklah seorang mukmin itu kecuali apabila di timpa kebaikan, ia bersyukur lalu menjadi kebaikan baginya; dan bila ditimpa musibah keburukan ia bersabar dan menjadi kebaikan baginya apabila ia ditimpa” ( Riwayat Muslim)

Sabar merupakan sikap unggul yang perlu wujud dalam diri seseorang muslim. Sabar dari sudut istilah adalah menahan dan mengekang. Sabar juga bererti teguh hati tanpa mengeluh, saat ditimpa bencana. Sabar menurut pengertian Islam ialah rela menerima sesuatu yang tidak disenangi dengan rasa ikhlas serta berserah diri kepada Allah S.W.T. Sabar juga mengandungi unsur perjuangan yang tidak menyerah dan menerima begitu saja. Kesimpulannya sabar bermaksud keupayaan mengawal diri dan tindakan kerana sabar menjadikan seseorang terhindar dari dorongan emosi yang mengundang sifat melampau.

3.    Jangan Melampau Dalam Beragama

Melampau yang dimaksudkan ialah melakukan sesuatu melebihi apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T, dengan sangkaan bahawa memberat-beratkan diri dengan melampaui perintah Allah itu petanda kepada TAQWA. Perbuatan melampau dalam beragama amat ditegah oleh Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W:

“ Berhati-hatilah kamu daripada ghulu (melampau) dalam agama kerana sesungguhnya orang sebelum kamu telah dihancurkan disebabkan sikap melampau mereka dalam agama.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebut: “Seorang muslim dalam ibadahnya mengikut batasan yang ditentukan untuknya. Tidak mencukupi hanya sekadar bertujuan (ikhlas) untuk keredhaan Allah semata, bahkan hendaklah ibadah itu dilakukan dalam bentuk yang disyariatkan Allah, dengan kaifiyyat (cara) yang diredhai-Nya. Janganlah ibadah seorang muslim itu ialah apa yang direka oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan.”

Manusia dilarang melampau baik dari segi amalan, prinsip mahupun perasaaan. Sebagai contohnya dalam aspek amalan manusia hendaklah besederhana dalam beribadah kerana terdapat sahabat yang ingin beribadah berterusan iaitu solat malam tanpa tidur, berpuasa setahun tanpa berbuka dan beribadah tanpa bernikah dicela oleh Nabi S.A.W kerana itu bukan caranya manusia berTuhan. Semua harus seimbang. Puasalah, tetapi berbukalah juga. Bangunlah malam, tapi peruntukkan sebahagiannya untuk tidur. Beribadahlah semahunya, tetapi bernikah juga. Enggan pada peraturan seimbang ini, “engkau bukan dari umatku”, kata Nabi S.A.W.

 4.    Jangan Cenderung Kepada Golongan Yang Zalim

Melampau itu zalim, kerana ia meletakkan pemikiran dan tindakan di luar neraca agama yang ditentukan Allah S.W.T. Kezaliman itu juga harus dihindarkan sejajar dengan rukun kedua istiqamah, iaitu jangan pula cenderung kepada golongan yang zalim. (Jangan zalim, dan jangan cenderung kepada si zalim)

Maksud zalim dari segi istilah  ialah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Lawannya ialah adil. Zalim boleh dibahagikan kepada 3 golongan iaitu:

                   • Zalim pada diri sendiri
                   • Zalim kepada orang lain
                   • Zalim pada diri sendiri serta menzalimi orang lain

Zalim pada diri sendiri boleh ditakrifkan sebagai orang yang melakukan sesuatu perbuatan yang bercanggah dari sudut agama sedangkan dia tahu perbuatan itu salah dan berdosa. Contohnya seseorang yang minum arak serta berjudi sedangkan dia tahu ada dalil yang menyatakan bahawa arak dan judi itu mudharat serta haram di sisi agama, setelah itu mereka mendustakan ayat-ayat Allah dengan mengatakan tidak apa-apa minum arak.  Firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran, Ayat 94 bermaksud:

“Maka barangsiapa mengada-adakan dusta kepada Allah sesudah itu, maka merekalah orang-orang yang zalim.”

Cenderung kepada orang zalim pula terletak kepada kecenderungan hati dan kebergantungan kepada orang zalim sama ada lemah pendirian ataupun bergantung harap. Sufyan al-Thauri pernah ditanya oleh seseorang, “aku bekerja sebagai penjahit untuk si zalim itu. Apakah aku termasuk di dalam golongan orang cenderung kepada si zalim? (merujuk ayat surah Hud ini)”.

Sufyan al-Thauri menjawab, “tidak! Bahkan engkau termasuk di dalam golongan manusia yang zalim. Ada pun mereka yang cenderung kepada si zalim (yang disebutkan oleh surah Hud itu) ialah mereka yang menjual jarum kepadamu untuk kamu menjahit!”

Istiqamah itu sangat berkait rapat dengan keseimbangan. Kegagalan untuk mengimbangkan diri akan menggagalkan istiqamah. Contohnya seorang yang meniti di atas jambatan lurus hendaklah meberi sepenuh konsentrasi untuk mengimbangkan diri kerana jambatan itu terus lurus, namun kegagalan kita mengimbangkan diri dalam perjalanan itulah yang akan menjadikan kita terjerumus.

Hikmah Beristiqamah

Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Fussilat, Ayat 30:

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

Berdasarkan Ayat di atas, kelebihan beristiqamah adalah:

  1. Akan selalu didampingi oleh Malaikat
  2. Tidak akan rasa takut
  3. Tidak akan rasa sedih
  4. Akan mendapat balasan syurga

 

 

One thought on “ISTIQAMAH

  1. Pingback: Aku Baru Tahu Maksud Zalim… - Aku Baru Tahu Maksud Zalim… - Aku Baru Tahu Maksud Zalim… - Aku Baru Tahu Maksud Zalim… | Asuhan Keperawatan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s