PUSAT KRISIS SEHENTI BANTU MANGSA KEGANASAN DOMESTIK

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) — Penderaan domestik, yang rata-rata melibatkan unsur emosi, seksual, fizikal dan ekonomi, adalah sebahagian daripada kes keganasan berulang yang sukar dihentikan.

Meskipun terdapat kes kaum lelaki menjadi mangsa penderaan, namun keganasan domestik lazimnya melibatkan gadis dan wanita dari pelbagai latar belakang dan jumlah kesnya kian meningkat.

Statistik oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan secara purata empat wanita dirogol atau dicabul setiap hari.

Tujuh wanita pula menjadi mangsa gangguan seksual manakala 100 kanak-kanak didera setiap hari.

Statistik yang sama menunjukkan 52 peratus mangsa rogol berusia bawah 15 tahun dan lebih daripada 80 peratus mangsa rogol mengenali identiti perogol.

Kementerian itu juga menyatakan bahawa kes rogol meningkat sekali ganda kepada 2,341 kes pada 2006 berbanding 1,217 kes pada 2001.

Manakala statistik polis menunjukkan bahawa kes keganasan domestik yang dilaporkan sepanjang lapan bulan pertama tahun 2006 mencatatkan 2,121 kes.

KHIDMAT YANG DITAWARKAN OLEH PKS

Mangsa keganasan domestik sememangnya amat memerlukan perhatian perubatan ketika waktu krisis di samping perlindungan, tempat tinggal yang selamat, sokongan, kaunseling dan bantuan perundangan.

Bantuan komprehensif ini bukan sahaja meliputi aspek perubatan malahan kaunselor, pekerja sosial, perundangan dan polis.

Terdapat beberapa agensi kerajaan dan swasta yang menyediakan sumber dan sokongan untuk wanita yang dianiaya tetapi keistimewaan Pusat Krisis Sehenti (PKS) hospital-hospital kerajaan ialah menempatkan kesemua perkhidmatan yang diperlukan oleh mangsa di bawah satu bumbung.

Ia adalah tempat untuk wanita dan kanak-kanak yang didera, termasuk mangsa rogol, mendapatkan kesemua bantuan yang diperlukan.

Objektif pusat ini ialah menyediakan sebuah tempat untuk mangsa keganasan dan jenayah mendapatkan rawatan dan segala bantuan yang diperlukan tanpa perlu pergi dari satu tempat ke tempat yang lain.

Ia juga menempatkan pelbagai disiplin perubatan seperti obstetrik dan ginekologi, forensik, pakar psikitari, pekerja sosial, pakar pediatrik, surgeri serta pelbagai sektor antara-agensi seperti kebajikan, polis, biro bantuan perundangan, kumpulan agama dan badan bukan kerajaan.

ANTI KEGANASAN TERHADAP WANITA

Di Malaysia, PKS berkembang secara berperingkat. Pusat pertama ditubuhkan pada tahun 1986 di Hospital Universiti, Kuala Lumpur, yang kini dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), susulan daripada kempen anti keganasan terhadap wanita oleh pertubuhan wanita.

Bagi meluaskan lagi perkhidmatan ini, pusat kedua dibuka lapan tahun kemudian di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Sebelum itu kesemua kes dikendalikan secara ad-hoc.

Pada tahun 1996, Kementerian Kesihatan mengarahkan kesemua hospital negeri membuka PKS untuk mangsa keganasan domestik.

Menjelang 1997, PKS telah ditubuhkan di hampir 90 peratus hospital kerajaan di seluruh negara, yang kini melebihi 100 buah pusat.

Apabila seorang wanita, yang mendakwa menjadi mangsa keganasan, datang ke Unit Kemalangan dan Kecemasan di mana-mana hospital, PKS dikehendaki menguruskan pemeriksaan perubatan dan rawatan oleh doktor secara serta-merta.

AGENSI YANG BERKENAAN

Petugas dari agensi-agensi yang berkenaan akan berkumpul di sini sebaik sahaja mereka dipanggil untuk memberikan bantuan.

Pekerja sosial hospital dan sukarelawan dari persatuan wanita juga akan memberi khidmat kaunseling dan mengatur bantuan seterusnya.

Pertubuhan Majlis Wanita Kebangsaan, yang berperanan melatih sekumpulan kaunselor sukarela bagi membantu PKS, kini dalam menyiapkan Panduan Kaunseling bagi memastikan latihan yang konsisten disediakan di seluruh negara.

Selain daripada latihan untuk sukarelawan, pelbagai program turut dianjurkan oleh Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM) dan Pusat Krisis Wanita (PKW) untuk menanam kesedaran gender di kalangan pekerja sosial dan perubatan.

Program latihan ini menyediakan analisis faktor penyebab keganasan terhadap wanita, sudut pandang perundangan terhadap isu keganasan domestik dan rogol serta memperkenalkan pendekatan yang sensitif terhadap pengurusan perkhidmatan mangsa-mangsa tersebut.

BERPOTENSI MENGANCAM NYAWA

Kecederaan fizikal hanyalah sebahagian kecil daripada trauma yang dialami oleh mangsa keganasan domestik dan rogol.

Tetapi apa yang membimbangkan ialah ada antara kesan ini berpotensi untuk mengancam nyawa mangsa, pakar perubatan kecemasan HKL, Dr Faisal Salikin memberitahu BERNAMA baru-baru ini.

Menurut beliau, PKS di HKL telah menguruskan pelbagai kes keganasan domestik yang antaranya rogol, serangan seksual, liwat dan penderaan kanak-kanak.

Pada tahun 2006, PKS di HKL menerima 543 kes isteri yang dibelasah suami, 226 kes rogol dan 1,270 kes penderaan kanak-kanak.

Secara purata, PKS di HKL menerima 50 mangsa penderaan fizikal dan 25 kes rogol sebulan, katanya dan menambah, lebih 80 peratus mangsa berbangsa Melayu.

“PKS di HKL dibuka kepada semua kes dera sama ada penderaan fizikal mahupun penderaan emosi. Meskipun kebanyakan kes adalah berbentuk fizikal, ramai yang tidak menyangka terdapat bantuan untuk penderaan emosi dan jenis penderaan yang lain,” katanya.

Skop perkhidmatan di PKS HKL termasuk pemeriksaan, pengurusan bukti, diagnosis, penjagaan definitif, rujukan, dokumentasi dan laporan perubatan dengan memberi keutamaan kepada doktor wanita untuk merawat pesakit wanita serta sebaliknya.

PKS juga akan menyediakan terapi dan intervensi perubatan, intervensi krisis pelbagai peringkat, kaunseling dan sokongan emosi, perlindungan sementara serta bantuan perundangan.

Bagaimanapun, PKS tidak boleh memaksa mangsa untuk membuat laporan polis kecuali jika mangsa berusia bawah 18 tahun.

Pusat tersebut turut berkongsi modulnya dengan negara lain seperti Thailand, Mongolia dan Bangladesh.

Walaupun tidak semua hospital bertuah untuk memiliki tahap kemudahan seperti HKL, namun mekanismenya serupa, kata Dr Faisal, sambil menambah PKS di HKL bercadang mewujudkan pangkalan data sebaik saja mempunyai dana yang mencukupi.

FASA PENGURUSAN MANGSA

Mengenai laluan kritikal perkhidmatan PKS, ianya berdasarkan tiga fasa pengurusan krisis.

Fasa pertama diuruskan di bahagian kecemasan yang mempunyai kemudahan komprehensif dan suasana khas.

Pemeliharaan bukti dan pengumpulan spesimen dari vagina atau rektum, kuku yang dipotong dan pakaian akan diproses secepat mungkin.

Fasa ini memberi fokus kepada konsep ‘mengawal kerosakan’ dan dijalankan dengan kehadiran polis berpakaian awam.

Bagi memastikan kerahsiaan, sistem kod dicipta untuk nota kes pesakit.

Laporan polis boleh dibuat di PKS termasuk mendapatkan perintah pengekangan sepanjang siasatan dan perintah perlindungan sepanjang prosiding mahkamah.

Untuk fasa kedua, mangsa akan diberi rawatan dan intervensi klinikal. Mereka akan dihantar untuk rawatan susulan di klinik terpilih.

Terapi perbincangan kumpulan, kaunseling, penyediaan rumah perlindungan, laporan perubatan kesemuanya terkandung dalam fasa ini.

Sementara fasa tiga menumpukan kepada pemulihan mangsa.

Mereka akan berpeluang menyertai program rehabilitasi, pengurusan kegagalan perkahwinan, prosiding penceraian dan mahkamah, dan peruntukan harta serta hak penjagaan dan kebajikan kanak-kanak.

SERAMPANG TIGA MATA

PKS juga mengambil langkah serampang tiga mata — primer, sekunder dan tertiari — dalam menggalakkan pencegahan keganasan domestik.

Dalam pencegahan primer, perhatian diberikan untuk menanam kesedaran, pendidikan dan sensitiviti orang awam dengan sasarannya pelajar sekolah dan universiti.

Aktiviti yang dilakukan termasuk kaunseling pra-perkahwinan, memahami isu budaya dan agama serta pengurusan institusi kekeluargaan.

Pencegahan sekunder pula meliputi kesinambungan penjagaan, kawasan pengurusan yang dedikasi, sistem perkhidmatan standard, pekerja hospital yang prihatin, latihan khas untuk sukarelawan, latihan kepakaran khas, pengumpulan data, pangkalan data serta analisis dan pemantauan.

Amalan mahkamah, akta, undang-undang dan penguatkuasaan, tuntutan harta, hak penjagaan, prosedur penceraian dan pengurusan ibu atau bapa tunggal pula adalah sebahagian daripada program pencegahan tertiari.

Sokongan selepas keganasan domestik juga sangat penting dalam membantu pemulihan dan rawatan mangsa selain langkah utama untuk menghentikannya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s