KERATAN AKHBAR: USAH RAMPAS FITRAH IBU, ANAK

KUALA LUMPUR: Perbuatan merebut anak serta menafikan kepentingan ibu atau bapa untuk membesarkannya, sama seperti merampas hak zuriat itu untuk mendapat kasih sayang kedua-dua mereka, sekali gus pertikaian berkenaan dikhuatiri mampu menyebabkan kepincangan dalam diri kanak-kanak berkenaan.

Penceramah bebas dan perunding motivasi Human Touch Consultant, Datuk Mohd Zawawi Yusoh berkata, ibu bapa mempunyai fungsi tersendiri dalam memberi didikan sesuai kepada anak dan sekiranya hak kanak-kanak itu untuk mendapat bimbingan dirampas, ia boleh merosakkan proses tumbesarannya.

Beliau berkata, ibu bapa perlu mendahulukan kepentingan anak dan menyediakan suasana pembesaran yang harmoni kepada zuriat mereka selain mengenepikan sebarang pertelagahan demi kasih sayang dan kesejahteraan anak.

“Ayah tidak boleh merampas hak ibu menjaga dan membesarkan anak kerana ia adalah fitrah untuk seseorang ibu itu membesarkan anaknya, apalagi ia sudah mengandungkan dan menyusukan bayinya menyebabkan hubungan anak serta ibu lebih rapat.

“Islam ada peruntukan mengenai hak anak apabila ia memerlukan ibu terlebih dulu dan sekiranya perlu dibincang hingga ke peringkat mahkamah, biarlah dilakukan secara aman,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, perebutan anak tidak sepatutnya berlaku dan ibu atau bapa tidak perlu berasa takut kehilangan anak mereka kerana sekiranya kasih sayang diberi secukupnya, pasti mendapat balasan yang sama daripada zuriat mereka.

Namun katanya, masalah di antara suami isteri boleh menjadi lebih serius akibat campur tangan mentua yang tidak sepatutnya berlaku.

“Anak dalam proses membesar memerlukan belaian dan bukannya pertikaian kerana ditakuti masalah yang wujud memberi kesan kepada anak,” katanya.

Semalam, muka depan Harian Metro melaporkan seorang lelaki sanggup mengacu pisau terhadap ibu mentuanya sebelum melarikan bayi lelaki berusia lapan bulan daripada rumah ibu kepada isterinya di Kampung Permai, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam Khamis lalu.

Lelaki terbabit, Zulkipli Mohamad, 31, dikatakan bertindak demikian ketika isterinya, Siti Fairuz Abd Wahab, 24, tiada di rumah kerana ke kedai berhampiran.

Selepas beredar bersama anaknya, Muhammad Darwis Ikhram Abdullah, lelaki itu menghantar SMS dengan menyatakan ‘jangan harap hang (awak) nak tengok anak lagi, dia ada dengan aku’ kepada Siti Fairuz.

Sumber: Harian Metro, Rabu 18 Mei 2011

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s