NAFKAH: HAK DAN TANGGUNGJAWAB

Dalam  sesebuah institusi kekeluargaan  persoalan hak dan tanggungjawab adalah isu penting yang tidak boleh diambil mudah dan ringan. Ianya melibatkan hukum syarak dan perintah agama. Apabila seorang lelaki dan wanita diijabkabulkan dengan sah maka secara automatiknya tanggungan tersebut mula dipikul masing-masing. Hak isteri tanggungjawab suami dan hak suami tanggungjawab isteri. Sekiranya hak tersebut diawasi dan dilaksanakan dengan baik, sesebuah rumahtangga akan berjaya mencapai kebahagiaan dan kedamaian. Salah satu cabang hak isteri dan menjadi tanggungjawab suami yang utama adalah berkaitan urusan nafkah diri.

‘Nafkah’ asalnya adalah perkataan arab memberi maksud sesuatu yang dibelanjakan daripada mata wang atau seumpamanya bagi melengkapkan kehidupan seharian. Menurut Ibn Qudamah, nafkah ialah sesuatu yang dibelanjakan untuk melengkapkan apa sahaja yang menjadi keperluan asas kehidupan isteri untuk hidup seperti makanan, minuman, pakaian dan juga tempat tinggal. Sayyid Sabiq pula menambah bahawa pemberian suami untuk memenuhi keperluan isterinya seperti makanan, minuman dan juga ubat-ubatan walaupun isterinya seorang yang kaya, mempunyai duit sendiri dan mampu menanggung dirinya sendiri.

Tanggungjawab memberi nafkah diamanahkan kepada ketua keluarga dan suamilah yang memikul tugasan ini serta wajib baginya menjaga kebajikan isteri dan anak-anaknya. Konsep ini dibentuk berasaskan kepada hujah dari ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah yang berkaitan. Antaranya yang terpenting ialah ayat34  Surah an-Nisaa’ yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (daripada beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanja (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”

Dalam surat al-Baqarah, ayat 233 Allah SWT berfirman mafhumnya:

…Dan kewajiban ayah menanggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang patut. Seseorang itu tidaklah dibebani lebih dari kemampuannya.”

 Bahkan ketika terjadi perceraian sekalipun, suami masih berkewajiban memberikan nafkah kepada isterinya selama masih dalam masa ‘iddahnya dan nafkah untuk menguruskan anak-anaknya. Begitu juga dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Nasa’i yang bermaksud:

“Ya Rasulullah, apakah hak isteri ke atas kami?” Sabda Rasulullah SAW, “Hendaklah engkau memberi makan kepadanya apabila engkau makan dan hendaklah memberi pakaian kepadanya seperti mana engkau berpakaian.”

 Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan kepada kaum mukminin seperti diperintahkan kepada rasul. Maka, Allah berfirman dalam Al-Mukminuun ayat 51:

“.. makanlah dari makanan yg baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh.”

Dan ayat 172 surah Al-Baqarah, Allah SWT berfirman mafhumnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kalian.”

Walau bagaimanapun nafkah tidaklah bersifat mutlak kerana setiap orang tidak sama kemampuannya. Ada yang lebih berkemampuan dan kaya menyediakan kesemua keperluan dan ada pula yang sebaliknya. Apa yang penting suami memberikan komitmen dan tanggungjawab ini sebaik mungkin dengan kadar yang memberi keselesaan kepada isteri, bukannya kemewahan atau pembaziran yang melampau.

Persoalannya sekiranya isteri tersebut seorang yang bekerja, apakah menjadi tanggunggan bagi suami membayar nafkah diri?.. apakah gugur tanggungjawab tersebut ke atas suami daripada menyediakannya?.. Sebenarnya, urusan nafkah tetap berada di bawah tanggungjawab suami walaupun isterinya bekerja. Pendapatan isteri adalah hak mutlak bagi seorang isteri itu. Namun sekirannya digunakan bagi meningkatkan ekonomi keluarga dengan keredaannya maka pemberian tersebut dikurniakan pahala serta dikira sumbangan berharga isteri kepada suami. Keadaan demikian tidak akan menggugat dan menggugurkan kewajipan suami daripada memberi nafkah kepada isterinya. Selain itu, nafkah yang wajib diberikan suami kepada isteri akan terhenti apabila isteri melakukan perkara-perkara yang boleh dikategorikan sebagai nusyuz atau derhaka atau tidak taat kepada suaminya.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s