MALU

Seringkali kita mengungkapkan perkataan malu, namun sejauh manakah kita cuba memahami dan menghayati maksud yang tersirat di sebalik perkataan malu ini. Malu merupakan satu sifat atau perasaan yang menimbulkan keengganan melakukan sesuatu perkara yang negatif atau kurang sopan.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Sifat malu merupakan salah satu cabang daripada cabang-cabang Iman” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Malu dan iman adalah dua perkara yang memang tidak boleh dipisahkan buat selama-lamanya. Mereka yang telah hilang sifat malu adalah orang yang tipis imannya. Hal ini kerana malu dan iman berjalan beriringan. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang.

Justeru, malu merupakan sifat yang paling mulia yang perlu ada dalam diri setiap orang Islam. Seseorang yang memiliki sifat malu mampu menahan dirinya daripada melakukan sesuatu perbuatan keji. Seseorang yang mempunyai sifat malu akan malu untuk melakukan maksiat atau perkara yang tidak senonoh. Dia akan malu untuk pergi ke tempat yang tidak sepatutnya. Dia akan malu untuk cuba-cuba melakukan sesuatu yang mungkar.  Dia akan malu menzahirkan perilaku buruknya.  Kerana malu telah menjadi perisai dirinya. Manakala, orang yang tidak mempunyai perasaan malu biasanya akan melakukan sesuatu yang tidak baik dengan tenang tanpa ada rasa gugup dan takut sedikit pun. Kepincangan dan kemerosotan moral dan sahsiah terutamanya masyarakat Islam pada hari ini, merupakan satu hakikat yang terpaksa ditelan walaupun pahit berpunca daripada terhakisnya sifat malu yang seharusnya dipertahankan oleh setiap orang Islam. Rasulullah mengajar umat Islam mengenai betapa pentingnya seseorang menghiasi dirinya dengan sifat malu. Dan betapa malunya seorang yang bergelar muslim tidak mempunyai sifat malu.

Walaupun, ISLAM menuntut setiap orang islam untuk memiliki sifat malu, namun dalam menuntut ilmu dan menyatakan yang hak kita seharusnya tidak terlalu dikongkong oleh sifat malu. 

Daripada Abi Waaqid Allaithy R.A, sesungguhnya Rasulullah SAW ketika mana Baginda SAW sedang duduk di dalam masjid  bersama-sama dengan kumpulan manusia (para sahabatnya dalam majlis ilmu) , tiba-tiba datang tiga orang, lalu dua orang terus menyertai majlis Rasulullah SAW dan seorang lagi pergi begitu sahaja (tanpa menyertai). Lalu kedua-dua orang itu berdiri (dekat halaqah), maka salah seorang daripada kedua itu melihat ada ruang kosong di dalam halaqah ilmu tersebut lalu dia duduk di situ, manakala yang keduanya hanya duduk jauh di belakang mereka dan manakala yang ketiga pula terus memalingkan punggung dan beredar pergi. Maka apabila Rasulullah SAW selesai (memberi pengajian), lalu Baginda bersabda : Mahukah kalian aku khabarkan tentang hal orang bertiga itu? Maka yang pertama itu dia bersungguh-sungguh untuk mencari ilmu, maka Allah melapangkan tempat untuknya, manakala yang kedua itu dia berasa malu (tidak bersungguh-sungguh), maka Allah juga malu daripadanya (tidak memberinya ilmu yang banyak) dan yang ketiga itu dia berpaling dari Allah, maka Allah juga berpaling daripadanya (tidak mengendahkannya).

Malah, wanita-wanita ketika zaman Rasulullah SAW tidak menghalangi diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan.  Mereka tidak malu dalam menuntut ilmu.  Sifat ini wajar kita contohi. 

Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Malu bertanya sesat jalan”. dan “Malu berkayuh perahu hanyut.” Ini menunjukkan bahawa dalam mengeluarkan diri dari kejahilan dan kekaburan, jangan kita malu untuk bertanya dan menimba ilmu. 

Selain itu, rasa malu untuk melakukan kebaikan seperti malu membaca Al-Quran, malu melakukan amar maa’ruf nahi munkar yang menjadi kewajiban seorang Muslim, malu untuk solat berjama’ah di masjid, malu memakai pakaian seorang muslimah merupakan sifat malu yang tidak patut ada di dalam diri manusia.  Kerana ALLAH SWT menyuruh hamba-hamba-NYA agar berlumba-lumba membuat kebaikan.  Sesungguhnya, malu itu biarlah bertempat. Jangan malu untuk melakukan perkara yang membawa kepada kebaikan tetapi malulah kepada perkara yang mungkar.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s