BANK SUSU IBU ADALAH HARAM : MAJLIS FATWA MEMUTUSKAN PENUBUHAN MEMBAWA KEMUDARATAN KETURUNAN

Keratan Berita Harian Isnin 16 Januari 2012 bersamaan 22 Safar 1433H dan ringkasan ulasan

          Berdasarkan Kepada Akhbar Tempatan Berita Harian bertarikh Isnin 16 Januari 2012 bertajuk cadangan tubuh bank susu adalah haram oleh Majlis Fatwa. Majlis Fatwa memutuskan penubuhan membawa kemudaratan keturunan. Persoalan mengenai cadangan penubuhan bank susu ibu selesai apabila Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan penubuhannya adalah haram kerana boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram.

Keputusan yang diambil pada Persidangan Muzakarah kali ke-97 pada 15-17 Disember 2011 hujung tahun lalu, melihat kepada keperluan penubuhannya yang tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam keselamatan umat. Sebelum ini, Berita Harian pernah menyiarkan perdebatan mengenai kewujudan komuniti, Human Milk For Human Baby (HM4HB) iaitu rangkaian perkongsian susu ibu global yang mempunyai puluhan ribu penyokong di laman sosial Facebook dari lebih 54 negara dan kira-kira 900 daripadanya rakyat Malaysia. Walaupun HM4HB bertujuan mencari ibu susuan bagi membantu bayi pra-matang dan ibu bermasalah untuk menyusui bayi mereka kerana menghidap pelbagai penyakit termasuk HIV, namun timbul kebimbangan umat Islam terutama hukum hakam berkaitan ibu susuan. Berikutan itu, ada pihak mencadangkan ditubuhkan bank susu bagi membolehkan keluarga yang memerlukan susu badan memperoleh bantuan secara lebih mudah.

Dalam kenyataan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang disiarkan menerusi portal e-fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu semalam, perkara itu diputuskan selepas ahli panel muzakarah mendengar taklimat dan penjelasan pakar serta meneliti keterangan, hujah dan pandangan yang dikemukakan.

“Muzakarah berpandangan bahawa menjaga keturunan, termasuk dalam lima perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan perlu dielakkan.”
“Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat berkait rapat dengan syarat pengharaman atas sebab susuan di mana bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih akan menjadi adik beradik susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Bagi memenuhi keperluan bayi pra-matang yang memerlukan rawatan, manakala ibu mempunyai kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi, muzakarah memutuskan adalah harus bagi ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta penderma perlu saling mengenali.

Sehubungan itu, SENADA berpandangan bertitik tolak dari pada konsep Maqasid Syar`iah yang diterapkan di dalam Syariah Islam iaitu umat Islam harus menjaga lima perkara iaitu menjaga agama, diri, akal, harta serta nasab maka isu cadangan penubuhan bank susu ini adalah tergolong di bawah perkara yang kelima iaitu menjaga nasab.
Seperti mana yang kita sedia maklum bahawa nasab bermaksud keturunan atau dalam istilah mudahnya ialah salasilah sesuatu keluarga atau kerabat. Isu cadangan penubuhan bank susu ini diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan kerana dikhuatiri akan menyebabkan wujudnya kekeliruan terhadap nasab keturunan seseorang bayi itu sekiranya menerima bantuan susu daripada bank susu ini.
Analogi yang mudah untuk dijelaskan di sini ialah sekiranya bayi A telah meminum susu sebagai contoh dari ibu X yang tidak dikenali dan seterusnya susu itu juga diminum oleh bayi B maka kesannya bayi A dan B tidak boleh berkahwin atas dasar mereka adalah adik beradik secara susuan. Oleh yang demikian sekiranya apabila kedua-dua bayi A dan B ini telah dewasa maka mereka adalah dilarang sama sekali untuk berkahwin berdasarkan firman Allah S.W.T di dalam surah an-Nisa’ ayat 23 yang bermaksud:

“Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): Ibu-ibu kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan saudara-saudara bapa kamu dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki dan anak-anak saudara kamu yang perempuan dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu dan ibu-ibu isteri kamu dan anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya) dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Namun begitu, ianya dibolehkan seperti di dalam keadaan darurat yang dibenarkan oleh syariah seperti wujudnya mudarat ke atas bayi sekiranya dia tidak mendapat susu dikhuatiri akan mengancam nyawanya, ibu kandungnya menghidapi penyakit berjangkit yang dikhuatiri akan menyebabkan dia turut sama menerima penyakit itu dan sekiranya ibu kandung tersebut telah meninggal dunia. Semua ini boleh dilakukan dan diharuskan dengan syarat penderma susu serta penjaga bayi tersebut haruslah saling kenal mengenali. Ini bertujuan agar nasab kedua-dua pihak dapat dijaga serta dapat menghalang perhubungan yang diharamkan di dalam al-Quran daripada berlaku.
Melihat kepada fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan ianya jelas bertepatan dengan konsep Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah karangan Sheikh Mustafa bin Ahmad Al-Zarqa’ iaitu di dalam istilah bahasa adalah “Menghalang sesuatu yang batil daripada berlaku adalah diharuskan serta menjaga maslahah umum adalah lebih penting daripada maslahah peribadi”.

               Oleh yang demikian kita sebagai masyarakat yang prihatin perlulah terlebih dahulu mengkaji sesuatu perkara tanpa membelakangi konsep Syariah yang telah diperuntukkan di dalam al-Quran kerana semua perkara yang meliputi kehidupan manusia telah sedia ada diperjelaskan untuk rujukan manusia di dunia ini.
Wallahualam…

Oleh : Senadakpwkm

Sumber asal: Berita Harian 16 Januari 2012
Sumber nas Al-Quran : Surah an- Nisa’ ayat 23.
Sumber fatwa :http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-penubuhan-bank-susu

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s