ANAK TIDAK SAH TARAF

Anak tidak sah taraf juga disebut sebagai anak zina atau anak luar nikah yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan daripada perkahwinan yang sah atau persetubuhan syubhah (persetubuhan oleh suami dan isteri).

Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) Seksyen 2 mentafsirkan bahawa anak tidak sah taraf adalah istilah yang digunakan bagi anak yang tidak mempunyai nasab atau hubungan darah yang sah.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan (MKI) kali ke-64 pada 27 Julai 2004 menyatakan bahawa anak tidak sah taraf ialah:

i. Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan
ii. Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh)
iii. Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut takwim Qamariah daripada waktu tamkin (setubuh) selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut Hukum Syarak

Terdapat beberapa implikasi berhubung kedudukan anak tidak sah taraf dalam Islam. Implikasi-implikasi tersebut ialah:

i. Penamaan dan Nasab
Jika seseorang anak lahir tanpa ada ikatan perkahwinan yang sah di antara ibunya dengan lelaki yang mensetubuhinya dan bukan persetubuhan syubhah, maka anak tersebut tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapa zina. Sebaliknya hendaklah dibinkan atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama ”Asma’ ul-Husna” yang
berpangkalkan Abdul. Kedudukan ini berbeza dengan anak yang bukan beragama Islam. Kesahtarafan anak akan dikira dari tarikh ibu dan bapa anak tersebut memeluk Islam.

ii. Pergaulan dan Hubungan
Dalam Islam anak tidak sah taraf bebas menjalin apa-apa hubungan atau aktiviti sepertimana yang dilakukan oleh kanak-kanak Islam yang sah tarafnya. Hukum pergaulan anak tidak sah taraf dengan lelaki yang melakukan persetubuhan dengan ibunya adalah sama dengan lelaki asing yang tiada kaitan dengannya (bukan mahram) kecuali lelaki tersebut menjadi suami ibunya maka hubungannya adalah sebagai ayah tiri. Perhubungan antara anak tidak sah taraf dengan anak-anak di sebelah ibunya yang sah taraf dan ahli keluarga sebelah ibunya yang lain adalah hubungan kekeluargaan yang sah. Namun, perhubungan ini tidak boleh diperluaskan kepada keluarga sebelah bapanya yang tidak sah kerana keluarga bapa bukan termasuk ahli keluarganya.

iii. Nafkah
Tanggungjawab nafkah dan saraan hidup anak tidak sah taraf terletak kepada ibunya. Ini adalah kerana anak tak sah taraf dinasabkan kepada ibunya dan tidak kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. Peruntukan mengenai tanggungjawab nafkah ini juga terdapat dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) Seksyen 80 (1)
iaitu :

Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tidak sah taraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, Mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.

iv. Penjagaan
Hubungan nasab (keturunan) anak tidak sah taraf dengan ibu serta ahli keluarganya tidak terputus. Oleh itu tanggungjawab menjaga anak tidak sah taraf menjadi tanggungjawab ibu dan ahli keluarga di sebelah ibunya. Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) Seksyen 85 memperuntukkan bahawa :

Penjagaan kanak-kanak tidak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu.

v. Harta Pusaka.
Anak tidak sah taraf tidak terputus hubungan kekeluargaan dengan ibunya. Begitu juga ibu tidak terputus hubungan kekeluargaan dengan anak tersebut. Oleh itu, kedua-duanya boleh mewarisi pusaka antara satu sama lain. Seseorang anak tidak sah taraf tidak boleh mewarisi harta bapanya yang tidak sah. Begitu juga bapa tidak boleh mewarisi harta anak tersebut kerana kedua-duanya telah terputus hubungan kekeluargaan.

vi. Perwalian
Hak perwalian diri anak tidak sah taraf terletak kepada ibunya. Walaubagaimanapun, wali perkahwinan bagi seseorang anak perempuan tidak sah taraf dipegang oleh Wali Hakim (iaitu Yang DiPertuan Agong/Sultan/Raja atau individu yang diberi tauliah). Ini adalah kerana seseorang perempuan tidak sah menjadi wali di dalam apa jua perkahwinan.

Sabda Rasulullah S.A.W :

Maksudnya : Sultan adalah wali kepada sesiapa yang tidak
mempunyai wali.

(Riwayat Abu Daud dan Tirmidhi)

Begitu juga lelaki yang menyetubuhi ibunya tanpa akad nikah yang sah, sama ada dia berkahwin atau tidak dengan ibunya selepas itu juga tidak sah menjadi walinya.

vii. Perkahwinan
Perkahwinan anak perempuan tidak sah taraf adalah sah,

viii. Kematian
Kematian seorang anak tidak sah taraf yang belum baligh adalah menurut hukum agama ibunya. Jika ibunya beragama Islam, maka dia dihukum sebagai seorang Islam. Oleh itu mayatnya hendaklah diurus secara pengurusan jenazah Islam. Jika ibunya bukan seorang yang beragama Islam, maka dia dihukum sebagai bukan seorang beragama Islam sekalipun lelaki yang menyetubuhi ibunya adalah seorang Islam.

ix. Pertukaran Status Anak Tak Sah Taraf
Seseorang anak tidak sah taraf boleh bertukar sifatnya apabila dia dibuang oleh ibunya dan dijumpai oleh orang lain. Pada ketika itu statusnya akan bertukar menjadi anak laqit (iaitu anak pungut). Dia akan menjadi anak angkat kepada sesiapa yang memungut dan diberi tanggungjawab memeliharanya berdasarkan peruntukan yang diberikan kepada seorang anak angkat.

x. Amal Kebajikan
Amal kebajikan anak tidak sah taraf sama ada untuk diri sendiri atau untuk masyarakat adalah sama seperti anak-anak sah taraf yang lain. Anak tidak sah taraf adalah seorang yang suci dan bersih dari sebarang dosa ibu dan bapanya.

Firman Allah S.W.T:

Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)

(Surah al-An’am : 164)

Dalam sebuah Hadis Riwayat Muslim menjelaskan larangan melakukan khalwat antara seorang teruna dengan seorang dara, kerana ia merupakan jalan mudah ke arah perzinaan. Dalam Al-Qur’an pula jelas melarang perzinaan kerana zina itu mendatangkan dosa besar dan boleh menghuru-harakan masyarakat dan negara.

Jika seorang dara melakukan perzinaan dengan seorang teruna bererti ia telah melakukan dosa besar. Dalam Islam ia perlu dikenakan hukuman dirotan sebanyak 100 rotan seterusnya bertaubat kepada Allah. Ini sekiranya ia menyerah diri kepada pihak yang berkuasa.

Jika ia tidak menyerah diri kepada pihak yang berkuasa, maka tidak wajib kepada pihak berkuasa mencarinya kerana perzinaan itu hanya menjadi rahsia antara dia dengan pasangannya sahaja dan ia akan menerima balasan Allah pada hari kiamat kelak, kerana dosanya tidak akan gugur selagi mana belum dilaksanakan hukum hudud tersebut ke atas dirinya.

Sumber:
http://www.darulnuman.com
http://halaqah.net

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s