PENCERAIAN : PERLU DIELAKKAN!, ALTERNATIFNYA

 

Penceraian umum diistilahkan sebagai pembubaran perkahwinan. Penceraian merupakan suatu perkara yang amat dibenci oleh Allah S.W.T tetapi diharuskan dengan alasan dan sebab-sebab tertentu. Penceraian boleh dilakukan dengan cara talaq, fasakh dan khuluk atau tebus talak. Dari Ibnu Umar R.A dari Nabi Muhammad S.A.W beliau bersabda yang bermaksud,
أبعض الحلال إلي الله الطلاق

” Perbuatan halal yang dimurkai Allah ialah talak”
Riwayat Abu Daud dan Hakim

Islam tidak mengalakkan umatnya bercerai berai, kerana ia akan mengakibatkan implikasi yang negatif kepada pasangan itu sendiri, anak-anak, keluarga mahupun masyarakat amnya. Hal keadaan ini walaupun dibenci namun terdapat pensyariatan menggalakkan supaya suami melepaskan dengan cara yang paling baik (ma`ruf) sekiranya tidak dapat mempertahankannya lagi. Allah S.W.T berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 19 bermaksud:
“Pergaulilah isterimu dengan baik, sekiranya kamu benci kepada mereka, boleh jadi ada yang kamu benci itu Tuhan akan menjadikan kebaikan yang banyak padanya”

Amanah dan tanggungjawab ini hanya dapat dilaksanakan pasangan suami isteri dengan baik dan sempurna, jika keduanya menjadikan dasar ikatan/ perjanjian yang suci ini dengan bersumberkan iman dan taqwa kepada Allah S.W.T kerana selagi kedua-dua pasangan ini menjadikan sumber pegangan mereka berpandukan dengan ajaran Islam, Insyaallah tujuan dan matlamat perkahwinan yang didambakan akan berkekalan hingga ke akhir hayat mereka. Dalam keadaan ini, penceraian bukannya penyelesaian terakhir.
Islam menggariskan panduan supaya bermusyawarah dengan cara berbincang dengan melibatkan pihak-pihak yang dapat membantu dan menjernihkan keadaan. Kebiasaannya orang tersebut di kalangan mereka yang berpengaruh dan dihormati oleh pasangan tersebut. Rujukan yang dilakukan ini juga lebih kepada pendekatan nasihat dan teguran secara berhikmah. Namun sekiranya tidak dapat dielakkan dan keputusan untuk berpisah dibuat dan dilakukan dengan seadil-adilnya seperti mana sabda baginda dalam hadith mahsyur apabila Isteri Tsabit bin Qais pernah datang kepada Nabi Muhammad S.A.W mengadukan:

“Ya Rasulullah! Sesungguhnya Tsabit bin Qais tidak saya cela budi dan agamanya, tetapi saya tidak tahan marahnya. Kemudian Nabi bertanya tentang apa yang pernah dia ambil dari suaminya itu. Ia menjawab: Kebun. Lantas Nabi bertanya lagi., Apakah kamu mau mengembalikan kebun itu kepadanya? Ia menjawab: Ya. Maka bersabdalah Nabi kepada Tsabit: Terimalah kebun itu dan cerailah dia”
Riwayat Bukhari dan Nasa’i

Realiti masyarakat Islam di Malaysia hari ini terdedah dalam lafaz penceraian soreh (lafaz yang menggunakan ucapan yang jelas dengan maksud penceraian) dan lafaz penceraian kinayah (lafaz yang boleh memberikan erti talaq dan yang boleh membawa kepada maksud yang lain). Medium teknologi yang canggih seperti khidmat pesanan ringkas (SMS), Audio atau multimedia (MMS), email, faksimile, facebook, twitter, myspace juga tidak terkecuali daripada berlakunya penceraian kerana digunakan dengan meluas seluruh dunia.
Oleh yang demikian, Mahkamah Syariah adalah tempat rujukan dan aduan muktamad oleh suami isteri terutamanya dalam melaporkan permasalahan rumahtangga dan melaporkan penceraian dengan kadar segera. Hal ini juga bertujuan mendapatkan penjelasan dan mengetahui status penceraian tersebut serta menyelesaikan apa-apa perkara yang berbangkit kesan akibat penceraian itu keatas pasangan. Kekusutan yang tidak mampu diselesaikan dalam soal rumahtangga mestilah dirujuk kepada Pejabat Agama bagi mendapatkan kaunseling dalam mencari titik persamaan dan menghindari perbezaan agar keharmonian institusi keluarga kukuh dan utuh terjalin dalam membentuk sahsiah dan jati diri. Sekian.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s