HIDUPKAN NILAI KASIH SAYANG, KIKIS BURUK SANGKA

Permusuhan boleh dielak jika pandai jaga percakapan, saling perbetul kesilapan

KITA selalu menyangka bahawa kasih sayang sesama manusia hanya akan lahir apabila mereka saling mengenali dan mempunyai tautan hati. Kita lupa bahawa sebagai makhluk Allah SWT yang bergelar manusia, kita sebenarnya berkasih sayang apabila mempunyai sifat belas kasihan dan saling melindungi antara satu sama lain.

Sayang sekali sekiranya kita tidak mampu berkasih sayang dan saling mengingatkan antara satu sama lain, apatah lagi sekiranya berkongsi akidah yang sama. Tanpa kasih sayang, kita akan selalu berprasangka buruk terhadap orang lain, sedangkan sebagai umat Rasulullah SAW, kita sepatutnya saling melindungi dan memperbetulkan kesilapan masing-masing dengan penuh hemah dan adab.
wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu orang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiki untuk menentukan kebenarannya. – Surah al-Hujuraat, Ayat6. Dalam dunia hari ini yang penuh tohmah dan buruk sangka, manusia sering bertelingkah kerana tidak mengetahui kebenaran. Kasih sayang bukan lagi sebahagian cara hidup yang memungkinkan keaiban dilindungi dan kesalahan diperbetulkan tanpa rasa benci.

Kewujudan segolongan kecil yang bijak melakukan fitnah kerana hasad dengki dan terlalu cintakan dunia menyebabkan umat Islam sering bermusuh-musuhan sekali gus merendahkan nilai dan maruah agama pada mata bukan Islam. Ia juga menjadi sebab umat Islam semakin jauh daripada ukhuwah dan silaturahim yang berasaskan takwa, malah merenggangkan persaudaraan.

Sebagai individu Muslim yang menganut agama menganjurkan umatnya hidup dalam keadaan rukun dan damai, kita dilarang melakukan perkara yang boleh menjejaskan serta merosakkan hubungan baik sesama manusia.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 12, yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah sikap dari sangkaan supaya kamu tidak dipengaruhi prasangka yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Jika demikian keadaan mengumpat maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Oleh itu, patuhilah larangan yang disebut itu dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat lagi Maha Mengasihani”.
Allah mengingatkan kita bahawa sebahagian prasangka itu adalah perbuatan dosa kerana ia timbul daripada perasaan iri hati atau dengki terhadap seseorang. Ia juga menyebabkan timbul tuduhan lain yang tidak berasas kerana orang lain turut serta melakukan perbuatan yang serupa dan ia menambahkan lagi prasangka buruk.

Teknologi komunikasi yang tidak bersempadan juga turut meluaskan penyebaran maklumat yang boleh meracuni akal manusia yang tidak tahu membuat pertimbangan antara fitnah dan kebenaran.

Oleh itu, sebagai hamba yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, kita hendaklah menjaga adab pertuturan, berbicara mengenai perkara yang benar atau berdiam diri, seperti sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Iman Al-Bukhari yang mafhumnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau hendaklah ia diam.”

Buruk sangka dengan hasrat mempengaruhi minda orang lain supaya membenci saudara seagama adalah perbuatan jahiliah yang diwarisi kerana tamak dunia dan terlalu cintakan isinya yang menjadi bahan bakar neraka.

Banyak contoh boleh diteladani daripada kisah sahabat Rasulullah SAW dan juga sejarah yang pernah berlaku sehingga boleh menggadaikan negara dan agama akibat buruk sangka. Ia patut dijadikan iktibar kepada setiap umat Islam.

Jika tidak kerana buruk sangka menjadi padah kepada umat Islam, mustahil Allah SWT memperincikan betapa pentingnya kita menyelidiki sebarang maklumat yang disampaikan oleh seseorang, bimbang sekiranya kita turut mempercayai dan menjadi penyampai kepada fitnah terhadap umat Muhammad SAW.

Allah mengingatkan kita dalam al-Quran, surah al-Hujuraat ayat 6 yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu orang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiki untuk menentukan kebenarannya”.

Kerana buruk sangka menyebabkan terputusnya silaturahim, sebab itulah juga perpaduan umat Islam akan goyah, malah menjadi laba kepada pihak yang sentiasa menantikan saat kehancuran manusia yang dibimbing dengan perintah dan larangan Tuhan Yang Satu.

Satu demi satu keistimewaan umat Islam yang tiada bandingannya diselongkar dan dibinasakan dengan janji syurga di dunia mengakibatkan janji Allah mengenai hari pembalasan di pandang sebelah mata. Perkataan dusta yang dibawa oleh orang yang fasik pula diangkat menjadi rujukan utama.

Untuk menjauhkan diri daripada terus melakukan fitnah terhadap setiap umat Muhammad SAW, kita hendaklah membataskan prasangka buruk terhadap seseorang setakat di dalam hati saja, tanpa meluahkannya atau memberitahu kepada orang lain mengenai apa yang dirasa, apatah lagi meyakinkan orang lain supaya turut mempunyai perasaan yang serupa.

Justeru, prasangka yang boleh mendatangkan dosa wajib dijauhi jika kita sayangkan kehidupan sesudah mati. Sebaliknya, tukarkan buruk sangka dengan kasih sayang dan belas kasihan sesama umat yang bersaudara kerana itulah asas sebuah kehidupan berkeluarga. Kasih sayang bukan sekadar menyatukan hati dan jiwa tetapi juga mengukuhkan hubungan sesama manusia.

Oleh Nik Salida Suhaila
salidasuhailla99@yahoo.com

SUMBER : BERITA HARIAN

One thought on “HIDUPKAN NILAI KASIH SAYANG, KIKIS BURUK SANGKA

  1. Pingback: Kisah Siput dan Katak | lazionews.info

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s