NAFKAH SEMENTARA DALAM PROSES CERAI IKUT KEMAMPUAN

Mahkamah kena pastikan bapa tak abai tanggungjawab

HUKUM syarak dan undang-undang sudah menetapkan nafkah isteri dan anak adalah tanggungan suami ataupun bapa kandung. Kewajipan menanggung nafkah isteri dan anak sudah dinyatakan dalam al-Quran.
Allah berfirman yang bermaksud: “Tempatkan isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan jangan kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu).” (Surah at-Talaq, ayat 6)
Pembuktian melalui dokumen adalah wajar untuk digunakan bagi membuktikan pendapatan pihak suami. Keadaan ini mudah bagi suami yang bekerja dengan kerajaan atau berpendapatan tetap namun agak sukar untuk suami tidak mempunyai pendapatan tetap atau bekerja sendiri.
Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan ibu hendaklah menyusukan anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara sepatutnya. Tidak diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Jangan menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan itu (jika si bapa tiada).” (Surah al-Baqarah, ayat 233)

Bapa perlu memenuhi tanggungjawab memberi nafkah kepada anak berdasarkan kemampuan bapa melainkan atas sebab tertentu yang menyebabkan bapa tidak berkemampuan menanggung nafkah anak seperti lumpuh atau hilang upaya hingga tidak boleh mencari nafkah.

Bagi nafkah anak yang membabitkan kes mahkamah, ada kala ia akan memakan masa lama, bergantung kepada pertikaian antara kedua-dua pihak. Walau bagaimanapun, sepanjang tempoh itu anak tetap memerlukan perbelanjaan.

Justeru, perlu ada mekanisme yang dapat membantu anak mendapat perbelanjaan diperlukan sementara menantikan keputusan mahkamah nanti.
Seksyen 73 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain dengan menyediakan tempat tinggal, pakaian, makanan, minuman, perubatan dan pelajaran yang munasabah dengan melihat kemampuan serta taraf kehidupannya.

Seterusnya, undang-undang turut menggariskan tempoh perintah bagi nafkah anak tamat apabila anak mencapai umur 18 tahun namun pada masa sama, mahkamah boleh atas permohonan anak itu atau seseorang lain untuk melanjutkan perintah nafkah anak.

Berkenaan nafkah sementara, berdasarkan Seksyen 71 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan:

(1) Jika mahkamah berpuas hati terdapat alasan untuk membayar nafkah, mahkamah boleh membuat suatu perintah terhadap suami bagi membayar nafkah sementara yang akan berkuat kuasa dengan serta merta dan terus berkuat kuasa sehingga perintah mahkamah dibuat atas permohonan untuk nafkah.

(2) Suami boleh melaraskan nafkah sementara yang dibayar dengan jumlah diperintah supaya dibayar untuk nafkah bawah perintah mahkamah dengan syarat jumlah diterima isteri, selepas ditolak apa-apa potongan, adalah cukup untuk keperluan asasnya.

Adalah jelas permohonan boleh dilakukan untuk mendapatkan hak nafkah sementara anak dalam tempoh perbicaraan bagi kes nafkah anak sehingga perintah nafkah anak dikeluarkan oleh mahkamah.

Walau bagaimanapun, permohonan perintah nafkah sementara ini hendaklah dimulakan dengan memfailkan kes induk iaitu permohonan nafkah anak (kekal) di Mahkamah Rendah Syariah dan kemudian baru difailkan permohonan nafkah sementara di Mahkamah Tinggi Syariah memandangkan nafkah sementara anak ini adalah berbentuk interim (sementara) sedangkan permohonan nafkah anak adalah permohonan bersifat kekal.

Seksyen 202, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 menyatakan jika mahkamah berpuas hati atas permohonan pihak yang berhak untuk mendapat nafkah sementara maka mahkamah boleh memutuskan dengan serta merta.

Jika permohonan berkenaan dengan permohonan interim (sementara) maka mahkamah hendaklah memastikan bapa kanak-kanak itu berkeupayaan membayar nafkah seperti dipohon.

Peruntukan bagi seksyen di atas jelas menunjukkan mahkamah mempunyai kuasa untuk memerintahkan pembayaran nafkah secara sementara kepada pihak terbabit. Walau bagaimanapun, mahkamah juga perlu meneliti akan tanggungan orang yang bakal dipertanggungjawabkan untuk pembayaran sama ada mampu ataupun tidak.

Contohnya, jika seorang bapa berpendapatan RM1,500, adakah wajar tuntutan yang dipohon RM1,200 sebulan. Penelitian ini penting bagi mengelak kesusahan terhadap mana-mana pihak lain.

Selain itu, pembuktian melalui dokumen adalah wajar untuk digunakan bagi membuktikan pendapatan pihak suami. Keadaan ini mudah bagi suami yang bekerja dengan kerajaan atau berpendapatan tetap namun agak sukar untuk suami tidak mempunyai pendapatan tetap atau bekerja sendiri.

Alternatif lain mungkin boleh diambil untuk membuktikan takat kemampuan suami. Pada masa sama, pemohon hendaklah membuktikan kepada mahkamah bahawa nafkah anak sementara untuk memenuhi keperluan bulanan anak dan ia tidak boleh diketepikan begitu saja.

Pemohon juga perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa pihak dituntut adalah seorang yang berkemampuan, seperti mempunyai pendapatan tetap dan pendapatan itu wajar dengan jumlah yang dituntut pemohon.

Jika pembuktian ini gagal, maka besar kemungkinan apa dipohon tidak dapat diluluskan mahkamah.

Nafkah sementara itu bersifat sementara saja dan bukannya kekal. Ini bermakna perintah ini hanya berkuatkuasa seperti diperintahkan atau sehingga perintah bagi kes induk diputuskan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

SUMBER : BERITA HARIAN
Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s