IBU TERISTIMEWA


Ibu umpama lilin yang membakar diri. Menerangi hidup kita dengan segala kesusahan dan keperitan.
Menanggung kepayahan selama sembilan bulan dan kesakitan ketika melahirkan. Kerana kasih sayang ibulah, kita lahir ke dunia fana ini.

Tanpa ibu mungkin kita tidak bernama. Tidak mungkin kita ketawa dan menangis. Tanpa ibu tidak mungkin kita mengecapi segala kesenangan dan kejayaan. Terima kasih atas jasa dan pengorbanan ibu yang tidak ternilai.Dalam kehidupan kita sebagai anak, ibu memainkan peranan yang penting. Sebagai anak, syurga terletak dibawah telapak kakinya. Dalam Islam, seseorang anak tidak boleh menderhaka kepada ibunya walaupun dengan berkata ‘uhh’. Di sini, kita dapat menilai betapa penting dan mulianya seseorang yang bergelar ibu dalam hidup kita sebagai anak.

Menurut Ustaz Haji Ahmad Shukri Yusoff, Eksekutif Zakat di Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, ibu merupakan insan yang paling penting dalam hidup seseorang. Sebagai anak, kita hendaklah berbakti taat kepada kedua-dua ibu bapa dan menjadi satu kewajipan pada anak-anak. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. “ummu, ummu, ummu dan yang terakhir barulah abbun.”

Ini bermakna dalam hadith menyatakan bahawa, kedudukan ibu amat istimewa melebihi bapa. Ini kerana ibulah yang mengandung, melahirkan dan orang yang paling dekat dengan anak-anak sejak dari bayi sehingga dewasa. Ibulah yang banyak memberi perhatian dan mengasuh kita. Dengan ini, doa ibu lebih maqbul dan mabrur atas sebab kedudukan dan kelebihan ibu yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.

Ustaz Haji Ahmad Shukri menyatakan bahawa, doa ibu adalah mustajab. Ini bermakna sesuatu perkataan yang keluar dari mulut ibu adalah satu doa untuk anak-anaknya. Oleh itu, seseorang ibu hendaklah mengawal setiap tutur katanya supaya tidak mengeluarkan kata-kata yang buruk.

Jika seseorang ibu mengeluarkan kata-kata yang kesat atau makian tetapi bukan bermaksud demikian, ibu hendaklah beristighfar dan menarik balik kata-kata tersebut supaya ia tidak memberi kesan kepada anak-anaknya kelak. Tetapi malanglah bagi anak-anak yang mana ibunya sengaja mengeluarkan kata-kata tersebut kerana geram atau sakit hati dengan perangai anak-anaknya. Dalam konteks ini, kemungkinan kata-kata itu akan diterima Allah kerana kata-kata yang keluar dari mulut ibu itu adalah satu doa.

Justeru itu, diingatkan kepada semua ibu bahawa jika marah atau benci kepada anak-anak sekalipun, janganlah mengeluarkan kata-kata yang tidak baik didengar. Nak marah macam mana sekalipun, terutama pada anak biarlah kita berwaspada. Janganlah berdendam dan disimpan dalam hati. Hal ini bukan sahaja ditujukan pada ibu atau anak tetapi pada sesiapa sahaja. Ia bukan sahaja tidak baik tetapi akan memberikan kesan yang amat buruk baik pada individu itu sendiri ataupun masyarakat sekeliling.

Menurut Ustaz Ahmad Shukri lagi, jika ada anak-anak yang berperangai tidak baik dan melampaui
batas, ibu bapa hendaklah memainkan peranan penting yang mana tugas ibu bapa adalah mendidik. Mendidik disini bukan sahaja memberi nasihat dan tunjuk ajar, tetapi juga hendaklah memberi teguran dengan cara baik bukan mengeluarkan kata-kata kasar, sumpah serana, makian dan sebagainya. Itu bukan cara mendidik anak-anak.

Pendidikan di sini adalah di mana kita mengasuh dan mencegah anak-anak supaya jangan melakukan perkara-perkara yang tidak baik dengan cara elok, bukan dengan makian atau sumpah seranah. Itu adalah tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Jika ibu bapa mendidik dengan cara yang baik, maka eloklah jadinya tetapi pula jika tidak baik akan jadi sebaliknya pula.

Bagi anak-anak yang mendapat ibu bermulut celupar dan suka memaki hamun anak, sedangkan si anak tidak pernah membantah atau bercakap kasar dengan ibunya dan hanya mampu menangis sahaja dengan sikap ibunya, si anak mestilah bersabar dan banyak berdoa kepad Allah supaya ibunya berubah. Janganlah si anak menjawab atau sebagainya dengan tujuan untuk membalas, maka lain pula jadinya dan perkara ini tidak akan selesai. Dalam hal ini, semuanya bergantung pada nasib manusia, ada anak yang mendapat ibu bapa penyayang atau sebaliknya. Justeru itu, si anak mestilah tahu menggunakan pendekatan dan berusaha supaya ibunya akan berubah suatu hari nanti,” kata Ustaz Shukri.

Ustaz Ahmad Shukri menambah lagi, bahawa kita hidup di dunia ini umpama pusingan roda. Kadang-kadang kita di atas dan kadang-kadang di bawah. Begitu juga dengan kehidupan kita sebagai hamba Allah. Jika ibu bapa kita pada zaman mudanya pernah menderhaka kepada kedua ibu bapanya, tidak mustahil anak-anaknya suatu hari nanti akan turut menderhakai mereka pula.

“Sebenarnya, hubungan kita dengan ibu adalah hubungan yang begitu dekat. Sebab itulah Allah S.W.T. memerintahkan kita supaya mengabdikan diri kepada-Nya dan berbuat baik kepada kedua orang tua kita. Tuhan itu maha Adil. jika ibu bapa kita pernah menderhakai kepada orang tuanya dulu, Allah akan membalasnya di dunia lagi supaya dia dapat merasa, betapa sakitnya hati dengan perlakuan si anak sebagaimana kedua-dua orang tuanya rasai dahulu,” kata Ustaz Shukri lagi.

Oleh itu apabila kita sedar bahawa kita pernah menderhakai ibu bapa, jadi kita hendaklah segera memohon ampun dan maaf atas kesalahan yang dilakukan. Sebab hukuman menderhaka kepada ibu bapa ini sangat berat. Pernah terjadi pada zaman sahabat dahulu yang mana sahabat itu sukar meninggal dunia walaupun amal ibadahnya banyak.

“Selepas Rasulullah s.a.w. mendapat tahu bahawa hubungan sahabat dengan ibunya tidak baik, lalu
Rasulullah mencari ibunya. Barulah baginda dapat tahu bahawa ibunya tidak meredhai anaknya.
Rasulullah akhirnya ingin membakar sahaja sahabat itu sebab ibunya tidak meredhainya sebelum Allah membakarnya di dalam api neraka, lalu ibunya pun meredhai kesalahan anaknya itu.
Akhirnya sahabat itu dapat mengucap kalimah syahadah dengan baik dan meninggal dunia dengan sempurna. Rasulullah mengucapkan kesyukuran kerana sahabat itu di bebaskan dari neraka Allah. Ertinya di sini, kalau sahabat itu tidak mendapat kemaafan daripada ibunya bermakna sahabat itu akan dimasukkan ke dalam api neraka. Jadi di sini, kita lihat betapa besarnya kedudukan ibu pada anak,” cerita Ustaz Shukri panjang lebar.

Menurut Ustaz Shukri, masyarakat kita pada hari ini suka sangat untuk memutuskan tali silaturahim
kerana kecewa dengan sikap anak-anak. Sebagai ibu kita hendaklah melepaskan amarah kita bertempat, bukan main ikut sedap hati sahaja sehingga sanggup tidak mengaku anak. Sikap seperti ini boleh memutuskan silaturahim dan ditegah dalam agama sama sekali.

Menurut Ustaz Shukri, terdapat juga anak-anak yang berjaya tetapi lupa akan tanggungjawab terhadap kedua ibu bapanya. Hal ini juga disebut penderhakaan terhadap ibu bapa dan akan dibalas dengan azab Allah. Sebagai anak, kita mestilah sedar akan asal usul kita bahawa kejayaan kita pada hari ini adalah hasil berkat doa dan dorongan kedua-dua ibu bapa kita dahulu.

Oleh itu, kita hendaklah memberi nafkah kepada kedua ibu bapa kita kerana ia adalah sesuatu yang baik. Kita hendaklah menyara hidup ibu bapa sebagai membalas jasanya supaya mereka mendapat kesenangan dan kebahagiaan daripada kita. Jangan biarkan ibu bapa merempat dengan meminta simpati daripada orang lain.

Jika kita berbuat baik kepada kedua ibu bapa, itu merupakan amal soleh yang boleh menghapuskan dosa kita. Sebab itu, dalam Islam ada mengatakan bahawa apabila kita melihat muka kedua ibu bapa kita dengan rasa penuh belas ehsan, ia merupakan satu ibadah dan mendapat ganjaran pahala daripada Allah S.W.T. Orang-orang seperti itu akan sentiasa mendapat rahmat dari Allah S.W.T.

“Kita hendaklah berterusan berbuat baik kepada ibu bapa walaupun mereka sudah meninggal dunia.
Jika kita kenal kawan-kawan baik atau saudara-mara yang ibu bapa kita suka, kita hendaklah mencari dan berbuat baik dengan mereka sebagai membalas jasa ibu bapa kita.

“Selain itu, kita hendaklah menunaikan nazar atau kewajipannya yang tidak kesampaian seperti haji ataupun menggantikan puasanya. Kita juga hendaklah memohon keampunan kepada Allah S.W.T supaya menghapuskan segala dosanya dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang beriman. Sebagai anak kita hendaklah menziarahi kuburnya, menyedekahkan Al-Fatihah dan Yasin untuk kesejahteraan mereka di sana.

“Sepertimana dalam maksud hadith, sesiapa yang menziarahi kubur kedua orang tuanya atau salah seorang daripadanya terutama pada hari Jumaat, nescaya Allah akan ampunkan segala dosa-dosanya. Apa yang pasti, dalam Islam berbuat baik kepada kedua ibu bapa kita amatlah dituntut dan diberi ganjaran pahala,” kata Ustaz Ahmad Shukri mengakhiri perbualan.
Sumber: http://www.ukhwah.com/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s