JANGAN MUDAH LEPAS TALAK

 

Kes perceraian makin membimbangkan di kalangan masyarakat Islam
Isu perkahwinan serta perceraian akan sentiasa menjadi topik perbincangan dan statistik perceraian yang tinggi sering menjadi rujukan kepada permasalahan rumah tangga di Malaysia yang sebahagian besar membabitkan pasangan Islam.

Perkara ini menyebabkan institusi perundangan Islam popular kerana penciptaan peraturan, tindakan susulan dan pendapat yang diluahkan daripada institusi perundangan Islam dijadikan subjek dalam perbincangan seharian.

Realitinya, walaupun sesetengah pihak tidak percaya kepada statistik perceraian yang dikeluarkan pihak tertentu, hakikatnya perceraian memang banyak berlaku di Malaysia. Cuba duduk selama seminggu di mana-mana Mahkamah Syariah terutama di Lembah Klang, kita boleh kira sendiri jumlah perceraian yang berlaku.

Masalah perceraian sering dikaitkan dengan umur pasangan ketika bernikah, kekurangan pengetahuan dan persediaan menghadapi alam perkahwinan, masalah kewangan, sikap dan perangai suami dan sebagainya.

Pendedahan awal berumah tangga

Pelbagai peraturan tambahan turut diperkenalkan seperti kewajipan pasangan yang ingin berkahwin mengikuti kursus pra perkahwinan sebagai persediaan menghadapi alam rumah tangga. Langkah ini memang membantu, tetapi sebaiknya pendedahan mengenai alam rumah tangga diberi lebih awal lagi.
Lagipun, perubahan sosial yang berlaku memerlukan pasangan suami isteri supaya bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Keadaan ekonomi keluarga ada kala boleh menyebabkan perubahan dalam perbelanjaan ahli keluarga.

Semua itu jika tidak ditangani dengan bijak boleh menyebabkan timbul masalah dan apabila gagal diselesaikan boleh menjurus kepada berlakunya perceraian. Walaupun talak adalah perkara halal yang sangat dibenci Allah, sering kali ia menjadi penyelesaian terakhir kepada pasangan.

Justeru, apabila membincangkan mengenai perceraian, banyak perkara perlu diambil kira setiap pasangan suami isteri supaya rumah tangga yang dibina dapat dipertahankan. Jika berlaku perceraian, jangan pula memandai sendiri mengenai hukum atau menafikan hak orang lain.

Kebanyakan kes perceraian menunjukkan sikap tidak rasional pasangan khususnya mereka yang diberi hak jagaan untuk menafikan kunjungan pihak satu lagi. Bapa pula jangan menjadikan perpisahan sebagai alasan untuk tidak menunaikan nafkah kepada anak.

Ini isu selalu dibangkitkan dalam kes perceraian, hadanah serta nafkah. Sepatutnya pasangan yang berkahwin jelas dengan semua maklumat berhubung hidup berumah tangga serta kesan daripada perceraian yang berlaku.

Islam agama yang menyeluruh sudah menyediakan semua garis panduan bermula daripada cara memilih pasangan kerana jika tersalah pilih, menyebabkan timbul masalah di kemudian hari nanti.

Konsep cari pasangan

Konsep sekufu atau kesesuaian pasangan sering ditekankan sebagai asas supaya padanan dapat melayari bahtera perkahwinan dengan aman. Hadis Rasulullah SAW menekankan empat perkara perlu diberi perhatian iaitu kecantikan, kekayaan, keturunan dan agama.

Dalam Islam, kita tidak boleh mengambil sebahagian dan membuang sebahagian yang lain. Peraturan dan didikan agama Islam merangkumi segala aspek kehidupan dan penyerahan kita kepada peraturan harus berlaku secara menyeluruh.

Selalunya, perceraian berpunca daripada masalah kecil antara suami isteri tetapi apabila ia tidak ditangani dengan baik, perselisihan itu boleh merebak hingga perdamaian dilihat seakan mustahil untuk dicapai.

Enggan dibantu

Adalah suatu yang merugikan jika perkahwinan itu dapat diselamatkan tetapi sikap pasangan tidak serius menangani perbezaan yang wujud menyebabkan ikatan suci terputus juga. Antara sebab pasangan gagal mencari jalan penyelesaian kerana enggan mendapatkan bantuan pihak ketiga.

Jika badan rasa tidak sedap dan simptom demam juga mula kelihatan, bersegeralah berjumpa doktor. Begitu juga dalam perkahwinan, jika timbul masalah kecil, perbaiki segera sebelum ia melarat dan sukar pula untuk ditangani.

Keluarga adalah asas pembangunan sesebuah masyarakat kerana daripada keluarga akan terbentuk masyarakat. Apabila institusi keluarga itu baik, maka baiklah masyarakat dan sebaliknya jika ia rosak maka rosaklah masyarakat.

Sewajarnya institusi perkahwinan yang dulu dilihat sebagai satu ikatan suci terus dipelihara kerana pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan hubungan berkekalan. Namun, ia tidak akan tercapai jika pasangan tidak bersedia menunaikan tanggungjawab dan berusaha memelihara kesucian institusi keluarga.

Islam memandang berat sistem kekeluargaan atau rumah tangga kerana sebagai sumber manusia yang akan melahirkan generasi dan keturunan umat manusia yang akan mengisi kehidupan masyarakat kemudian hari dan menentukan bentuk kehidupan tersebut. Di samping itu, keluarga juga berfungsi sebagai tempat membina peradaban dan kebudayaan masyarakat serta perkembangannya.

Kata Kata Patah Hati

SUMBER : BERITA HARIAN
PENULIS : Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s